Berpegang dengan akidah yang benar lagi murni adalah syarat
pertama bagi seseorang mengaku dirinya beragama Islam dan menjadikan Islam
sebagai cara hidupnya. Pegangan tersebut mestilah selari dengan apa yang
terkandung di dalam Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w. Ia
mestilah beriman dengan apa yang telah diimani oleh orang-orang Islam terdahulu
yang terdiri dari angkatan Salafus-Saleh serta para Imam penyampai agama ini
yang telah diakui kebaikan, kebaktian serta ketakwaan mereka. Mereka ini mempunyai
kefahaman yang mendalam lagi bersih dalam urusan agama.
Bagi memastikan saya benar-benar Muslim dalam akidah maka
saya mestilah beriman dengan perkara-perkara berikut:
1. Saya mestilah beriman bahawa pencipta alam ini adalah
Allah, Tuhan
yang Maha Bijaksana lagi Berkuasa, Maha Mengetahui serta
tidak memerlukan pertolongan sesiapapun. Buktinya jelas pada kejadian alam ini
yang penuh dengan keindahan, kerapian dan keseimbangan, saling perlu memerlukan
di antara juzuk dengan juzuk yang lain. Adalah mustahil semua kejadian ini akan
kekal dan berterusan sekiranya tidak berada di bawah penjagaan Tuhan yang Maha
Tinggi lagi Maha Kuasa.
Firman Allah s.w.t:
لَوۡ كَانَ فِيهِمَآ
ءَالِهَةٌ إِلَّا ٱللَّهُ لَفَسَدَتَاۚ فَسُبۡحَٰنَ ٱللَّهِ رَبِّ ٱلۡعَرۡشِ عَمَّا
يَصِفُونَ ٢٢
Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari
Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu
kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy,
dari apa yang mereka sifatkan. (Surah Al-Anbiya' 21: Ayat 22)
2. Saya mestilah beriman bahawa Tuhan yang Mada Mulia
tidaklah mencipta segala kejadian alam secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan.
Kerana mustahil bagi Allah yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan itu mencipta
sesuatu secara sia-sia. Adalah mustahil seseorang itu dapat memahami maksud
tujuan Allah menjadikan sesuatu secara terperinci melainkan melalui penjelasan
Rasulullah s.a.w dan wahyu dari Allah
s.w.t sendiri. Firman Allah s.w.t:
أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا
خَلَقۡنَٰكُمۡ عَبَثٗا وَأَنَّكُمۡ إِلَيۡنَا لَا تُرۡجَعُونَ ١١٥ فَتَعَٰلَى ٱللَّهُ
ٱلۡمَلِكُ ٱلۡحَقُّۖ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ ٱلۡعَرۡشِ ٱلۡكَرِيمِ ١١٦
Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya
menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat
pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada
Kami? Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh
alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy
yang mulia.
(Surah Al-Mu'minun 23: Ayat 115-116)
3. Saya mestilah beriman bahawasanya Allah s.w.t telah
mengutuskan Rasul-rasul dan diturunkan untuk mereka kitab-kitab dengan tujuan mengajar
manusia supaya mengenali Allah dan memahami matlamat kejadian mereka,
mengetahui asal-usul mereka dan ke mana mereka akan kembali. Saya juga beriman
bahawa Rasul terakhir dari kalangan Rasul yang mulia itu ialah Nabi Muhammad
s.a.w yang Allah kurniakan kepadanya Al-Quran Al-Karim sebagai satu mukjizat
yang berkekalan.
Firman Allah s.w.t:
وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِي كُلِّ
أُمَّةٖ رَّسُولًا أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُواْ ٱلطَّٰغُوتَۖ فَمِنۡهُم
مَّنۡ هَدَى ٱللَّهُ وَمِنۡهُم مَّنۡ حَقَّتۡ عَلَيۡهِ ٱلضَّلَٰلَةُۚ فَسِيرُواْ
فِي ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُواْ كَيۡفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلۡمُكَذِّبِينَ ٣٦
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan
tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka):
Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka di antara mereka (yang
menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayat petunjuk oIeh Allah dan ada
pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi,
kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan
Rasulrasulnya. (Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)
4. Saya mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan insan
ialah mengenali Allah 'Azzawajalla seperti mana yang Allah s.w.t sendiri menjelaskannya,
memberi penuh ketaatan kepadaNya dan mengabdikan diri kepadaNya. Firman Allah
s.w.t:
وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ
إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ ٥٦ مَآ أُرِيدُ مِنۡهُم مِّن رِّزۡقٖ وَمَآ أُرِيدُ أَن
يُطۡعِمُونِ ٥٧ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ
ذُو ٱلۡقُوَّةِ ٱلۡمَتِينُ ٥٨
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia
melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali
menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak
menghendaki supaya mereka memberi makan
kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada
sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga,
lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya. (Surah Al-Zariyat 51: Ayat 56-58)
5. Saya mestilah beriman bahawa
ganjaran bagi orang mukmin yang taat kepada Allah ialah syurga. Manakala
balasan ke atas orang kafir lagi derhaka ialah api neraka. Allah menjelaskan:
فَرِيقٌ
فِي الْجَنَّةِ وَفَرِيقٌ فِي السَّعِيرِ
"....sepuak
masuk Syurga dan sepuak lagi masuk Neraka." (Surah Al-Syura
42: Ayat 7)
6. Saya mestilah beriman bahawa
sekalian manusia melakukan kebaikan dan kejahatan dengan pilihan dan kehendak mereka sendiri. Namun demikian
kebaikan yang dilakukan itu tidaklah berlaku, melainkan dengan taufik dan
'inayah dari Allah. Manakala amalan jahat pula tidaklah merupakan paksaan dari
Allah tetapi ianya termasuk dalam batasan keizinan dan kehendakNya.
Firman Allah s.w.t:
وَنَفۡسٖ وَمَا سَوَّىٰهَا ٧ فَأَلۡهَمَهَا فُجُورَهَا
وَتَقۡوَىٰهَا ٨ قَدۡ أَفۡلَحَ مَن
زَكَّىٰهَا ٩ وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّىٰهَا ١٠
Demi diri
manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai
dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang
membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; Sesungguhnya
berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah
bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang
menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya
(dengan sebab kekotoran maksiat). (Surah al- Syams 91: Ayat 7-10)
Dan firman Allah s.w.t;
كُلُّ نَفۡسِۢ بِمَا كَسَبَتۡ رَهِينَةٌ ٣٨
Tiap-tiap diri
terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang
dikerjakannya. (Surah
Al-Muddathir 74: Ayat 38).
7. Saya juga mestilah beriman
bahawa urusan penciptaan undang-undang itu adalah hak mutlak Allah s.w.t. Tidak
harus sama sekali manusia mendahului atau membelangkanginya. Apa yang
dibolehkan ialah ilmuan Muslim atau para ulama' berijtihad mengeluarkan
hukum-hukum dari nas-nas Syari'at dalam batas-batas yang diizinkan.
Firman Allah s.w.t:
وَمَا ٱخۡتَلَفۡتُمۡ فِيهِ مِن شَيۡءٖ
فَحُكۡمُهُۥٓ إِلَى ٱللَّهِۚ ذَٰلِكُمُ ٱللَّهُ رَبِّي عَلَيۡهِ تَوَكَّلۡتُ
وَإِلَيۡهِ أُنِيبُ ١٠
Dan (katakanlah
wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu
berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang
demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan
kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam
segala keadaan).
(Surah
Al-Syura 42: Ayat 10)
8. Saya mestilah
berusaha mengetahui nama-nama dan sifat-sifat Allah yang layak bagi kemuliaanNya. Abu Hurairah r.a berkata:
Rasulullah s.a.w telah bersabda:
"Allah
s.w.t mempunyai sembilan puluh sembilan nama, kurang satu seratus. Sesiapa yang
menghafaznya akan memasuki syurga. Allah itu ganjil (tunggal) dan menyukai
(bilangan) yang ganjil." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)
9. Saya mestilah berfikir
merenungi kehebatan kejadian-kejadian Allah, bukan memikirkan tentang ZatNya
sebagai mengikuti dan mentaati perintah Rasulullah s.a.w:
تفكروا فى خلق الله
ولا تتفكروا فى الله فإنكم لن تقدروا قدره
"Berfikirlah
kamu tentang makhluk ciptaan Allah dan janganlah kamu memikirkan tentang ZatNya
kerana kamu tidaklah mengetahui keadaan sebenarnya." (Hadis
diriwayatkan oleh Abu Nu'aim di dalam Al-Halyah dan Al- Asbahani
meriwayatkannya di dalam Al-Taghrib wa Al-Tarhib)
10. Berhubung
dengan sifat-sifat Allah s.w.t terdapat banyak ayat-ayat suci Al-Quran Al-Karim
yang membuktikan kesempurnaan ketuhana(UluhiyyahNya). Kita dapati beberapa ayat
Al-Quran membuktikan kewujudan Allah, sifat baqa' (kekal), sifat qadim (sedia ada),
sifat Ia berlainan dengan segala makhluk, tidak mempunyai anak, tidak ada yang
menandingiNya. Kita juga menemui ayat-ayat yang menunjukkan Tuhan itu wujud
dengan sendirinya, Maha Kaya dari segala makhlukNya dan makhluk berhajat
berhajat kepada kebesaranNya. Demikian juga kita menemui ayat-ayat yang
menunjukkan keEsaan Allah pada ZatNya, sifat-sifatNya dan perbuatanNya, kekuasaanNya,
keagunganNya dan keluasan ilmuNya ke atas sesuatu. Kita temui lagi ayat-ayat
yang menunjukkan iradah Allah mengatasi segala iradah yang lain dan Allah itu
bersifat hidup yang penuh dengan kesempurnaan.
Selain dari sifat-sifat
yang disebut tadi, masih banyak lagi ayat-ayat yang menerangkan sifat-sifat
kesempurnaan lain bagi Allah s.w.t yang tidak tercapai oleh daya pemikiran
manusia yang terbatas, tentang hakikat sebenarnya. Maha Suci Allah, kita
tidaklah dapat membataskan pujian kita terhadapNya sebagaimana memuji dirinya
sendiri.
11. Saya mesti
meyakini bahawa pendapat dan pandangan para salaf adalah lebih utama untuk
diikuti supaya dapat menyelesaikan perbahasan tentang penta'wilan dan
pentha'thilan sesetengah ayat suci Al-Quran, yakni membiarkan sebahagian dari
sifat-sifat Allah di dalam Al-Quran dengan menyerahkan hakikat sebenar mengenai
maknanya kepada Allah s.w.t.
Saya juga mesti
meyakini bahawa berbagai bentuk penta'wilan sesetengah ayat-ayat tertentu oleh
golongan khalaf (terkemudian) tidak wajar dijadikan sebab kepada perselisihan
yang berlarutan dan jangan sampai timbul kembali perbalahan di antara golongan
khalaf di masa lampau mahupun masa kini.
12. Saya juga
mesti mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata tidak menyekutukan dengan
yang lain. Ini saya lakukan kerana menyahut seruan Allah dan RasulNya yang
menyeru manusia supaya mengabdikan
diri hanya kepada Allah
semata-mata dan tidak tunduk kepada sesuatu selain Allah. Amaran ini jelas
dalam firman Allah s.w.t:
وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِي كُلِّ
أُمَّةٖ رَّسُولًا أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُواْ ٱلطَّٰغُوتَۖ
Dan sesungguhnya
Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan
memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah
taghut. (Surah
Al-Nahl 16: Ayat 36)
13. Saya juga
mestilah takut hanya kepadaNya dan tidak takut kepada yang lain. Perasaan takut
tersebut seharusnya menyebabkan saya menjauhi kemurkaan Allah dan
larangan-laranganNya.
Allah s.w.t menjelaskan:
وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ
وَيَخۡشَ ٱللَّهَ وَيَتَّقۡهِ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَآئِزُونَ ٥٢
Dan sesiapa yang
taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta,
menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang
yang beroleh kemenangan. (Surah Al-nur 24: Ayat 52)
Firman Allah s.w.t seterusnya:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَخۡشَوۡنَ رَبَّهُم بِٱلۡغَيۡبِ
لَهُم مَّغۡفِرَةٞ وَأَجۡرٞ كَبِيرٞ ١٢
Sesungguhnya
orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat
orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan
pahala yang besar. (Surah
Al-Mulk 67: Ayat 12)
14. Saya mesti
sentiasa mengingati Allah dan berzikir menyebut namaNya untuk menjadikan diam
saya itu adalah dalam keadaan berfikir dan apabila bercakap adalah kerana
berzikir. Ini paling mujarab untuk jiwa dan senjata paling ampuh untuk
menghadapi serangan-serangan zaman ini, pancaroba kehidupan serta asam
garamnya. Inilah penawar yang sangat diperlukan oleh manusia zaman ini. Sungguh
benar peringatan Allah yang menyatakan:
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَطۡمَئِنُّ
قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِۗ أَلَا بِذِكۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَئِنُّ ٱلۡقُلُوبُ ٢٨
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang
tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan
"zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Surah Al-Ra'ad
13: Ayat 28)
FirmanNya lagi:
وَمَن يَعۡشُ عَن ذِكۡرِ ٱلرَّحۡمَٰنِ
نُقَيِّضۡ لَهُۥ شَيۡطَٰنٗا فَهُوَ لَهُۥ قَرِينٞ ٣٦ وَإِنَّهُمۡ لَيَصُدُّونَهُمۡ
عَنِ ٱلسَّبِيلِ وَيَحۡسَبُونَ أَنَّهُم مُّهۡتَدُونَ ٣٧
Dan sesiapa yang
tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha
Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya),
lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. Dan
sesungguhnya Syaitan- syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang
benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayat
petunjuk. (Surah
Al-Zukhruf 43: Ayat 36-37).
Dr. Briel
sendiri mengakui kenyataan ini dengan menegaskan "sesungguhnya orang-orang
yang berpegang teguh dengan agama, ia tidak akan dihinggapi penyakit jiwa.
Manakala seorang pakar jiwa Dr. Riel Karienji menyatakan: "Sebenarnya para
doktor penyakit jiwa menyedari bahawa keimanan yang kukuh dan pegangan yang
teguh terhadap ajaran agama oleh seseorang adalah satu jaminan untuk menyembuhkan
mereka darri penyakit gelisah, tegang perasaan, penyakit saraf dan lain-lain.
15. Saya juga wajib menyintai
Allah dengan sebenar-benar cinta. Cinta yang menjadikan hati saya sentiasa
merasa rindu dan terikat denganNya.
Kecintaan itu
juga mendorong saya menambah amalan-amalan kebaikan, berkorban dan berjihad di
jalannya di sepanjang masa. Sekalipun hidup dalam kemewahan dan keseronokan
dunia serta kecintaan terhadap kaum kerabat, semuanya tidak sepatutnya
menghalang saya dari mencintai Allah. Ini adalah sejajar dengan seruan Allah
yang mengingatkan:
قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ
وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا
وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم
مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ
يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٤
Katakanlah
(wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara
kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta
benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan
rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi
perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan
(daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan
keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada
orang-orang yang fasiq (derhaka). (Surah Al- Taubah 9: Ayat 24)
Pengorbanan demikian saya lakukan
adalah untuk dapat merasai kelazatan dan kemanisan iman seperti yang
disyaratkan oleh Rasul yang mulia s.a.w:
"Barang siapa yang ada
padanya tiga syarat ini, ia dapat merasai kemanisan iman:
a. Jika ia mencintai Allah dan
rasulNya mengatasi kasihnya kepada yang lain.
b. Jika ia menyintai seseorang,
tidaklah ia cintai melainkan kerana Allah.
c. Jika ia benci untuk kembali ke
dalam kekufuran sebagaimana ia benci untuk memasuki api neraka.
16. Saya mesti bertawakal
sepenuhnya kepada Allah dalam setiap keadaan dan menyandarkan setiap urusan
kepadanya. Sifat tawakal inilah yang membangkitkan kekuatan zahir dan batin di
dalam jiwa dan diri saya yang menyebabkan segala kepayahan dapat dihadapi
dengan mudah. Sifat ini menepati seruan Allah s.w.t:
وَيَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَيۡثُ لَا يَحۡتَسِبُۚ
وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَٰلِغُ
أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَيۡءٖ قَدۡرٗا ٣
"....sesiapa
berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya
(untuk menolong
dan menyelamatkannya). (Surah Al-Talaq 65: Ayat 3)
Lihat betapa indahnya pesanan
Rasulullah s.a.w untuk kita, di dalam sebuah hadisnya:
"Peliharatitah
perintah Allah nescaya ia akan memelihara engkau (sepanjang masa), peliharalah
larangan Allah nescaya engkau dapati ia selalu di hadapanmu. Apabila kamu
meminta, hendaklah kamu meminta kepada Allah dan apabila kamu engkau memohon
hendaklah engkau memohon petolongan dari Allah. Ketahuilah, seandainya umat
manusia sepakat untuk memberi sesuatu manfaat untukmu, mereka tidak dapat
memberinya melainkan mengikut apa yang telah Allah tetapkan untukmu dan
sekiranya mereka sepakat untuk menimpakan engkau dengan sesuatu keburukan
tidaklah mereka dapat melakukannya melainkan dengaan sesuatu yang Allah Taala
telah tentukan ke atas dirimu, kerana telah terangkat pena dan telah kering
kertas (telah ditentukan kesemuanya)." (Hadith diriwayatkan oleh
At-Tirmizi berkata: Ini hadith Hasan Sahih)
17. Saya mestilah mensyukuri
nikmat-nikmatnya ke atas diri saya yang merupakan kurniaan dan rahmat yang
tidak terhitung jumlahnya. Bersyukur itu adalah satu dari tanda kemuliaan adab
seseorang penerima terhadap pemberi dan pengurnia. Allah menyatakan:
وَٱللَّهُ أَخۡرَجَكُم مِّنۢ بُطُونِ
أُمَّهَٰتِكُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ شَيۡٔٗا وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَٰرَ
وَٱلۡأَفِۡٔدَةَ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ ٧٨
Dan Allah
mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui
sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta
hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur. (Surah Al-Nahl 16: Ayat 78)
Seterusnya Allah berfirman:
وَءَايَةٞ لَّهُمُ ٱلۡأَرۡضُ ٱلۡمَيۡتَةُ
أَحۡيَيۡنَٰهَا وَأَخۡرَجۡنَا مِنۡهَا حَبّٗا فَمِنۡهُ يَأۡكُلُونَ ٣٣ وَجَعَلۡنَا
فِيهَا جَنَّٰتٖ مِّن نَّخِيلٖ وَأَعۡنَٰبٖ وَفَجَّرۡنَا فِيهَا مِنَ ٱلۡعُيُونِ
٣٤ لِيَأۡكُلُواْ مِن ثَمَرِهِۦ وَمَا عَمِلَتۡهُ أَيۡدِيهِمۡۚ أَفَلَا
يَشۡكُرُونَ ٣٥
Dan dalil yang
terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahankami), ialah bumi yang
mati; kami hidupkan ia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka
daripada biji-bijian itu mereka makan. 34- Dan kami jadikan di bumi itu
kebun-kebun kurma dan anggur dan kami pancarkan padanya beberapa mata air, 35-
Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh
tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?. (Surah Yasin 36:
Ayat 33-35)
Sebenarnya Allah
s.w.t telahpun menambahkan kurnianya kepada orang – orang yang bersyukur dan
mengugut akan menambah kerugian terhadap golongan yang ingkar. Firman Allah:
وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَئِن
شَكَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡۖ وَلَئِن كَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٞ ٧
Dan (ingatlah)
ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya
Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur
ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras. (Surah Ibrahim
14: Ayat 7)
18. Saya
mestilah sentiasa beristighfar memohon keampunan kepada Allah, istighfar itu
dapat membersihkan diri dari dosa di samping memperbaharui taubat dan iman.
Istighfar juga dapat memberikan kerehatan dan keheningan kepada jiwa.
Allah berfirman:
وَمَن يَعۡمَلۡ سُوٓءًا أَوۡ يَظۡلِمۡ
نَفۡسَهُۥ ثُمَّ يَسۡتَغۡفِرِ ٱللَّهَ يَجِدِ ٱللَّهَ غَفُورٗا رَّحِيمٗا ١١٠
Dan sesiapa yang
melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat)
kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al- Nisa' 4: Ayat 110)
Firman Allah
seterusnya:
وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَٰحِشَةً
أَوۡ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ
وَمَن يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ
وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ ١٣٥
Dan juga
orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri,
mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosamereka dan
sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka
juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan
mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Surah
Ali-'Imran 3: ayat: 135)
19. Akhir sekali
saya juga mestilah sentiasa bermuraqabah (merasai berada di bawah pengawasan) dengan
Allah s.w.t dalam keadaan terang mahupun tersembunyi kerana mengingatkan firman
Allah:
أَلَمۡ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ يَعۡلَمُ مَا
فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِي ٱلۡأَرۡضِۖ مَا يَكُونُ مِن نَّجۡوَىٰ ثَلَٰثَةٍ
إِلَّا هُوَ رَابِعُهُمۡ وَلَا خَمۡسَةٍ إِلَّا هُوَ سَادِسُهُمۡ وَلَآ أَدۡنَىٰ
مِن ذَٰلِكَ وَلَآ أَكۡثَرَ إِلَّا هُوَ مَعَهُمۡ أَيۡنَ مَا كَانُواْۖ ثُمَّ
يُنَبِّئُهُم بِمَا عَمِلُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَيۡءٍ
عَلِيمٌ ٧
Tiada berlaku
bisikan antara tiga orang melainkan Dialah yang keempatnya dan tiada (berlaku
antara) lima orang melainkan Dialah yang keenamnya dan tiada yang kurang dari
bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Dia ada bersama-sama mereka
di mana sahaja mereka berada. Kemudian Dia akan memberitahu kepada mereka pada
hari kiamat, apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui
akan tiap-tiap sesuatu.
(Surah Al-Mujadalah
58: 7)__
Comments
Post a Comment